Rasa tak seindah rupa. Itu gambaran boleh diberikan kepada ikan ketutu (marble goby) atau nama saintifiknya Oxyelotris marmoratus.
Walaupun rupanya agak hodoh dan menggerunkan, isinya yang manis dan lembut menambat hati pelbagai lapisan masyarakat terutama masyarakat Cina yang menjadikan ikan itu sebahagian hidangan utama pada malam sambutan Tahun Baru Cina atau keraian penting.
Selain rasanya yang enak, ikan ini dipercayai mampu melambatkan proses penuaan dan menghaluskan kulit wanita kerana kaya dengan vitamin B1, B2, B6, F dan E.
Bagi lelaki pula, ikan ini dipercayai mengandungi banyak enzim dan hormon yang mampu meningkatkan tenaga batin.
Ikan ketutu dianggap antara 10 spesies ikan air tawar liar dikategorikan sebagai makanan mewah dan eksklusif kerana harganya mampu mencecah RM300 sehingga RM1,000 sekilogram.
Walaupun mahal, ia tetap mendapat permintaan tinggi di negara ini dan beberapa negara seperti China, Singapura, Indonesia, Taiwan, Hong Kong serta Korea.
Bagi masyarakat tempatan, spesies ikan air tawar itu lebih dikenali dengan nama ikan ubi, ikan haruan bodoh, ikan hantu dan ikan belantuk mungkin kerana rupanya yang hodoh atau seperti kayu mati di dalam air.
Bersifat karnivor dan agresif, ikan ketutu adalah sejenis spesies ikan liar yang sukar didapati, namun bagi yang mempunyai kepakaran menangkapnya, ikan ketutu boleh ditemui di kawasan berair tenang, celah kayu mati dan berpasir seperti tasik, empangan, lombong atau paya dan sungai yang jarang diterokai.
Pengurus Pusat Akuakultur Wild Marble Goby Tan Chong Sean, 43, berkata, permintaan tinggi menyebabkan beliau mengusahakan ternakan ikan ketutu organik secara komersial sejak lapan tahun lalu.
Bermula dengan ternakan secara kecil-kecilan di dalam kolam kanvas, kini sistem itu dinaik taraf dengan penggunaan tangki gentian bagi memastikan ikan itu tidak mudah terdedah kepada penyakit dan kuman.
Walaupun pernah gagal tiga kali, syarikatnya kini menjadi antara pengeluar utama ikan ketutu di utara tanah air dan membelanjakan hampir RM200,000 sepanjang lapan tahun lalu bagi menjalankan kajian mengenai kaedah berkesan menternak ikan berkenaan.
“Kini saya mempunyai 80 tangki gentian dengan setiap tangki mengandungi 10,000 ikan ketutu liar mengikut saiz tertentu yang dibiak selama sembilan bulan bagi mencapai berat dikehendaki pasaran iaitu 800 hingga 1,200 gram seekor.
“Apa yang membuatkan saya seronok dan bersungguh-sungguh mengusahakan ikan ini ialah kerana tidak ramai mengkomersialkannya.
“Ikan ini juga bermusim. Disebabkan itu saya mengupah beberapa ejen di seluruh negara menangkap ikan ketutu liar di sungai utama yang biasanya banyak diperoleh antara Disember hingga Mac setiap tahun.
“Cara penjagaannya tidak sukar, namun ia memerlukan ketelitian kerana habitat asalnya tempat kotor dan saya perlu kuarantin terlebih dahulu ke dalam tangki khas sekurang-kurangnya tiga minggu sebelum mengalih ikan sihat yang bebas penyakit serta kuman ke dalam tangki biasa mengikut saiz,” katanya.
Menurut Tan, harga ikan bersaiz kecil iaitu 500 sehingga 700 gram mampu mencecah RM80 hingga RM100 sekilogram, manakala bagi yang sudah mencapai berat 800 gram hingga satu kilogram, harganya RM100 hingga RM120 mengikut pasaran semasa.
“Namun, harga ikan boleh mencecah lebih tinggi pada musim perayaan atau ketika musim pengeluaran ikan tidak banyak kerana sukar didapati di habitat asal.
“Di luar negara harga hidangan bagi seekor ikan ketutu mampu mencecah RM400 atau lebih dan ia menjadikan saya bercita-cita mengeksport ikan ini suatu masa nanti.
“Buat masa ini saya hanya menumpukan pasaran di utara kerana kuantiti ikan yang diternak masih tidak dapat menampung permintaan di negara ini,” katanya.
Tan berkata, bagi meningkatkan jumlah pengeluaran ikan ketutu setiap bulan, dia kini giat menjalankan kajian untuk menghasilan benih ikan ketutu untuk memudahkan proses pembiakan.
Katanya, ikan ketutu dibelanya mempunyai kepadatan dan rasa lebih sedap berbanding ikan liar kerana bebas kuman, selain proses pembiakan menggunakan air bertapis.
“Berdasarkan kajian efektif, pembiakan menggunakan sistem tangki gentian berwarna adalah kaedah terbaik manakala kolam konkrit atau kanvas tidak sesuai kerana sifat ikan ini yang aktif pada waktu malam boleh mengundang kecederaan.
“Namun, perkara paling utama dalam pembiakan ikan ini ialah kemampuan untuk menyediakan habitat hampir sama dan terkawal.
“Saya menitik berat soal pemakanan bagi memastikannya bebas bahan kimia berbahaya. Justeru, saya memberi makan ikan selayang yang dipotong kecil sekali sehari kerana ia kaya dengan vitamin dan mineral.
“Satu sajian ikan selayang mengandungi 13 peratus vitamin B, 25 peratus niasin dan 150 peratus vitamin B12 yang baik untuk tumbesaran ikan selain menghasilkan isi yang lembut serta lebih manis,” katanya.